Rabu, 30 Ogos 2017

HIDUP MEMERLUKAN PENGORBANAN






Hampir setiap tahun kita meraikannya,  sama seperti Aidilfitri. Namun kebiasaannya kedatangan Aidilfitri lebih dinanti berbanding Aidiladha.  Dengan tarikh yang sama iaitu  10 Zulhijjah pada tiap-tiap tahun hijrah. Mungkin bagi sesetengah orang sambutannya tidak memberi apa-apa makna, ada tak ada sama sahaja harinya dengan hari-hari lain. Ada  yang sama sahaja tiap tahun harinya apabila datangnya Aidiladha. Walaubagaimana penerimaan dan sambutan kita terhadapnya,  InsyaAllah pada hari Jumaat ini umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambutnya. Ia sebenarnya adalah  hari yang penuh dengan makna sejarah dan pengorbanan…

Menghayati semula kisah Nabi Ibrahim a.s dan juga anaknya Nabi Ismail a.s. tentang pengorbanan, Aidiladha sebenarnya merupakan gambaran simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang nabi kepada Tuhannya, seorang ayah kepada anaknya, seorang suami kepada isterinya dan juga seorang ibu kepada anaknya. Seperti yang kita sedia maklum, kedatangan Aidiladha ini bukanlah sesuatu yang disengajakan, lebih-lebih lagi menyimpang daripada kebetulan semata-mata, sebab ia mempunyai peristiwa sejarah pengorbanan yang teramat penting dalam sejarah Islam. 

Mengikut bahasa, perkataan korban bermaksud dekat. Manakala dari segi istilah ialah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Dalam sejarah, menurut Al-Quran dan kitab perjanjian lama, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil.

Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Kedua saudara itu lalu menyediakan korbannya. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud memenangkan persengketaan tersebut.

Nabi Ibrahim a.s. diperintahkan oleh Allah agar meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. di padang pasir yang tandus. Dan dari situ Siti Hajar terpaksa berlari dari gunung Safa ke Marwah untuk mendapatkan bekalan air untuk anaknya Ismail yang kehausan, dan dengan mukjizat daripada Allah, akhirnya Nabi Ismail menghentakkan kakinya ke tanah dan terhasilnya air zam-zam. Padang pasir yang tandus itu juga telah menjadi tumpuan buat umat Islam zaman sekarang untuk menunaikan haji yakni Makkatul Mukarramah atau nama dahulunya Bakkah.

Nabi Ibrahim AS setelah selesai membangun Kaabah di kota Makkah, telah mendapat perintah untuk berkorban dengan menyembelih putera tunggal kesayangannya. Sebagai manusia biasa, perintah mengorbankan anak kesayangannya amat berat untuk dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS. Lebih-lebih lagi beliau dikurniakan cahaya mata setelah usianya lanjut, hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar. Namun dengan hati yang berat, Nabi Ibrahim AS menyampaikan juga berita itu kepada puteranya Ismail mengenai mimpinya itu. Di dalam Al-Quran Surah as-Saffat: 102 maksudnya, “…Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”

Sebagai seorang anak yang taat kepada perintah Allah SWT, Nabi Ismail AS telah menjawab dengan tenang dan menyakinkan, sebagaimana maksud ayat al-Quran:…”Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar.”(as-Saffat:102). Dalam suasana yang mengharukan itu, Nabi Ismail meminta ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan bersedia menyembelih.

Pada saat itu Allah telah menunjukkan kekuasaanNya dan menggantikannya dengan seekor kibas(kambing biri-biri jantan) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Semenjak itulah Nabi Ibrahim AS melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan. Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban sebagai syiar Islam sebagaimana yang kita laksanakan pada setiap hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik.

Kisah Nabi Ibrahim dan puteranya menunjukkan betapa kesediaan kedua orang bapa dan anak dengan rela hati dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.

Tanpa sedar kita sebenarnya telah melalui beberapa siri pengorbanan dalam hidup. Bagi pasangan yang ingin berkahwin contohnya, banyak perkara yang terpaksa ditempuh dan dikorbankan untuk sampai ke jinjang pelamin, adakala masa rehatnya terpaksa dikorbankan dengan membuat kerja ‘part time’ untuk mencari wang belanja kahwin. Bagi yang berniaga pula, sanggup korbankan masa bersama keluarga semata-mata mengejar projek jutaan ringgit. Bagi yang mahukan kedudukan pangkat yang selesa didalam organisasi, terpaksa mengorbankan duit simpanan untuk mengikuti pengajian secara ‘part time’ harapannya dengan segolong diploma atau ijazah sebagai tiket untuk mendapat kedudukan pangkat yang selesa. Dan banyak lagi perkara-perkara yang terpaksa dikorbankan didalam hidup kita untuk mencapai sesuatu yang diinginkan. 

Begitulah juga keadaannya jika kita mengharapkan syurga Allah. Syurga Allah bukanlah suatu barang yang murah, pasti akan melalui proses PENGORBANAN.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi singgah komen